Khamis, Januari 22, 2009

Pentingnya Pertolongan Cemas - Utusan

Gaza melalui paparan berita akhbar dan televisyen menunjukkan sesuatu yang diambil mudah kebanyakan penduduk di Malaysia.

Rakyat Palestin yang biasa dengan hentaman bom dan peluru Yahudi dilihat berpengalaman luas dalam memberikan bantuan dan pertolongan kecemasan kepada mangsa yang tercedera.

Setelah lebih setengah abad dijajah dan diserang berulang kali, rakyat Palestin dilihat bersemangat bekerjasama menyelamatkan saudara mereka dengan keberanian merempuh hujan peluru tentera Israel.

Dalam situasi peperangan sebegitu, pengetahuan dalam pertolongan cemas bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa malahan dapat mengelakkan kecederaan lebih teruk seperti lumpuh atau perlu dipotong anggota badan tertentu.

Bagaimanapun, pertolongan cemas bukan hanya untuk ketika perang malahan penting di ketika berlakunya kecemasan atau kemalangan di rumah mahupun di tempat kerja.

Ilmu tanpa panic

Di waktu ketiadaan pakar dan kemudahan perubatan, pertolongan cemas dapat menentukan antara hidup dan mati mangsa.

Pertolongan cemas dapat mengelakkan kehilangan darah yang banyak, bisa merebak atau jangkitan kuman sementara bantuan paramedik tiba untuk dibawa ke hospital.

Mengenali masyarakat majmuk Malaysia yang sememangnya suka membantu, pasti ramai yang tampil membantu tanpa mengharapkan balasan. Namun ada juga segelintir yang hanya 'tolong tengok' sahaja.

Pengurus Jururawat Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Jafrina Hariani Haris Fadillah menjelaskan, 'tolong tengok' adalah lebih baik jika diri sendiri tidak mahir dalam sebarang ilmu pertolongan cemas.

"Adalah lebih baik bagi mereka yang tidak mempunyai ilmu atau latihan pertolongan cemas untuk membantu mengawal orang ramai dan mendapatkan bantuan.

"Jika cuba menolong tetapi menggunakan cara yang salah, mungkin hanya akan memburukkan lagi keadaan mangsa," katanya.

Beliau menekankan perkara utama di ketika berlakunya kecemasan atau kemalangan adalah untuk tidak panik dan membantu mengikut tahap pengetahuan yang ada.

Tegasnya, pertolongan kecemasan adalah untuk membantu menyelamatkan nyawa sehingga bantuan tiba, tanpa memburukkan lagi kecederaan yang dialami mangsa.

Selain pekerja bidang perubatan dan kesihatan seperti jururawat, paramedik dan doktor yang perlu mengetahui asas pertolongan cemas, pekerja sektor lain juga perlu mempunyai asas menangani situasi kecemasan yang mungkin timbul dalam bidang pekerjaan mereka.

Tidak mengira bentuk kecemasan, sama ada kebakaran, lemas atau patukan haiwan berbisa, adalah amat penting untuk menguruskannya dengan tenang. Oleh itu, ilmu amat penting bagi membolehkan kita membantu mereka yang dalam kesusahan tanpa memburukkan lagi keadaan.

Kesedaran

Dengan pengalaman lebih 10 tahun sebagai jururawat bertauliah, Jafrina Hariani menegaskan pertolongan cemas merupakan bantuan serta-merta sebelum paramedik atau doktor tiba untuk membantu mangsa.

"Kini ada juga golongan semuda 23 tahun yang mengalami sakit jantung. Oleh itu, pengetahuan dalam pertolongan cemas elok dipelajari ramai.

"Kesedaran tentang pentingnya ilmu pertolongan cemas perlu ditingkatkan supaya lebih inisiatif diambil untuk mempelajarinya," ujarnya.

Beliau turut menganggap pengetahuan dan latihan pertolongan kecemasan dapat memajukan diri dan menjadikan seseorang itu lebih berkemampuan.

"Empat minit (tempoh otak selamat tanpa oksigen) mungkin menentukan antara hidup dan mati mangsa, jika mereka menerima bantuan kecemasan," tegasnya.

"Syarikat-syarikat di Malaysia juga perlu mengadakan kursus pertolongan cemas tahunan bagi menyediakan pekerja mengurus situasi cemas di pejabat atau di rumah," katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan pendidikan pertolongan cemas dikembangkan kepada warga sekolah, terutamanya pelajar.

Seperti mana yang diajar kepada ahli Persatuan Pengakap, cara menghentikan pendarahan, membalut luka dan kaedah pertolongan cemas lain merupakan sesuatu yang amat berfaedah untuk dipelajari pelajar.

Ilmu ini akan memperkasakan semua peringkat usia di negara ini supaya tidak panik dan jelas dengan tindakan yang perlu diambil ketika berlakunya kecederaan, sebelum dapat dihantar ke hospital.

Walaupun pertolongan cemas bukannya rawatan penuh untuk kecederaan, ia dapat meningkatkan peluang mangsa menerima pemeriksaan dan rawatan lanjutan di hospital.

Ilmu asas pertolongan cemas sekurang-kurangnya membolehkan anda membantu ahli keluarga dalam situasi kecemasan atau kemalangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan